Antara yang lazim diamalkan oleh masyarakat Islam di Nusantara umumnya dan masyarakat Islam di Malaysia khususnya pada setiap malam Jumaat ialah membaca surah Yasin. Pada kebiasaannya, amalan membaca surah Yasin – atau lebih tepat dikenali sebagai Yasinan – ini dilakukan di masjid-masjid atau di surau-surau, dengan cara berjamaah (beramai-ramai) di mana salah seorang ketua daripada halaqah Yasinan diberi tanggungjawab untuk memimpin bacaan surah Yasin. Pada akhir upacara Yasinan tersebut ia diserikan dengan zikir-zikir tertentu, dimulai dengan bacaan surah al-Fatihah, tahlil serta beberapa doa khas yang disebut sebagai takhtim tahlil. Demikian secara ringkas mengenai gambaran umum upacara Yasinan pada malam Jumaat yang lazim diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia.[1]
Sebelum ini kita telah pun membongkar beberapa amalan ‘masyhur’ dalam masyarakat Islam di Malaysia yang didakwa oleh sesetengah pihak sebagai amalan yang termasuk dalam al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan ajaran Imam al-Syafie rahimahullah atau mazhab Syafie. Walau bagaimanapun, melalui pembongkaran tersebut jelas kepada kita semua bahawa dakwaan ini adalah tidak berasas sama sekali.
Menerusi artikel ini pula kita akan membongkar satu lagi amalan “masyhur” dalam masyarakat Islam di Malaysia yang turut dinasabkan kepada ajaran Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam dan Imam al-Syafie rahimahullah atau mazhab Syafie. Amalan yang dimaksudkan ialah mengkhususkan bacaan surah Yasin pada setiap malam Jumaat. Sama ada benar atau tidak dakwaan pihak-pihak ini, marilah kita ikuti perbahasan selanjutnya.
Benarkah amalan membaca surah Yasin pada setiap malam Jumaat merupakan al-Sunnah Rasulullah dan ajaran Imam al-Syafie atau para ulamak muktabar bermazhab Syafie?
Sejujurnya, sejauh kajian penulis sehingga kini tidak pernah penulis temui adanya satu jua hadis daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan keteranganatsar para sahabat radhiallahu ‘anhum yang sahih yang menganjurkan amalan membaca surah Yasin secara tetap pada setiap malam Jumaat. Demikian juga tidak ditemui dalam mana-mana jua kitab Imam al-Syafie rahimahullah mahupun para ulamak muktabar bermazhab Syafie yang menganjurkan atau menganggap baik amalan tersebut. Seandainya amalan ini termasuk dalam sunnah Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam, ajaran Imam al-Syafie rahimahullah dan para ulamak muktabar yang mengikuti beliau maka sudah pasti sahaja keterangan mengenainya akan sampai ke pengetahuan kita. Namun hal ini tidak mungkin berlaku kerana tidak ditemui dalil-dalil yang sahih lagi sarih mengenai hal tersebut.
Ketiadaan dalil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih, keterangan atsar para sahabat radhiallahu ’anhum, fatwa Imam al-Syafie rahimahullah serta para ulamak Syafi’iyyah mengenai anjuran mengkhususkan bacaan surah Yasin pada setiap malam Jumaat menjadi bukti yang kukuh bahawa amalan tersebut bukanlah berasal daripada tunjuk ajar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, Imam al-Syafie rahimahullah mahupun para ulamak yang mengikuti beliau. Sebaliknya – apa yang pasti – ia hanyalah merupakan amalan tradisi yang diwarisi secara turun-temurun oleh masyarakat Islam di Malaysia tanpa ada perintah dan anjurannya daripada al-Qur’an dan/atau al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih.
Apakah amalan-amalan yang khas pada malam Jumaat menurut al-Sunnah Rasulullah yang sahih
Salah satu amalan khas pada malam Jumaat menurut al-Sunnah Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih yang boleh dilakukan oleh umat Islam ialah membaca surah al-Kahfi.[2] Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh bagindashallallahu ‘alaihi wasallam menerusi beberapa buah hadisnya, antaranya:
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ فِي يَوْمِ الجُمْعَةِ أَضَاءَلَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الجُمْعَتَيْنِ.
Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya akan dibuatkan baginya cahaya di antara dua Jumaat.[3]
Dalam lafaz lain yang dinilai sahih oleh Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albanirahimahullah dalam Silsilah al-Ahadith ash-Shahihah (no. 2751) bersumberkan daripada Abu Sa’id al-Khudri radhiallahu’anh disebut bahawa:
من قرأ سورة الكهف كما أنزلت كانت له نورايوم القيامة من مقامه إلى مكة.
Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi sebagaimana ia diturunkan (nescaya) baginya cahaya pada Hari Kiamat dari tempatnya sehingga ke Makkah.
Dengan pemaparan hadis di atas maka terang bagi kita bahawa amalan mengkhususkan bacaan surah Yasin pada setiap malam Jumaat adalah suatu yang diada-adakan (bid’ah) di dalam agama. Lebih-lebih lagi amalan ini menjadi penyebab kepada terkuburnya salah satu sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sewajarnya dihidupkan oleh umat Islam pada hari atau malam Jumaat iaitu membaca al-Kahfi sepertimana jelas hadis di atas.[4]
Maka amat benarlah apa yang pernah diungkapkan oleh Hasan bin ‘Athiyahrahimahullah:
مَا ابْتَدَ عَ قَوْمٌ بِدْعَةً فِيْ دِيْنِهِمْ إِلاَّ نُزِعَ مِنْ سُنَّتِهِمْ مِثْلُهُا.
Tidaklah satu kaum mencipta satu bid’ah dalam agamanya melainkan tercabut dari sunnah (Nabi) mereka seperti itu pula.[5]
Beberapa Syubhat (Kekeliruan) dan Jawapan.
Para pendukung bid’ah memiliki sejumlah hujah bagi mempertahankan amalan mengkhususkan bacaan surah Yasin pada setiap malam Jumaat. Berikut diperturunkan empat hujah yang paling lazim dikemukakan oleh golongan ini dan jawapan semula oleh Ahl al-Sunnah terhadapnya. Antaranya:
SYUBHAT # 1:
Para penegak amalan Yasinan malam Jumaat berdalilkan kepada dua buah hadis berikut.[6] Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
مَنْ قَرَأَ يس فِي لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ غُفِرَلَهُ.
Barangsiapa membaca surah Yasin pada malam Jumaat maka akan diampuni dosa-dosanya.
Sabdanya dalam riwayat yang lain:
إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا وَ قَلْبُ القُرْآنِ يس وَ مَنْ قَرَأَ يس كَتَبَ الله ُبِقِرَا ءَتِهَا قِرَاءَةَ القُرْآنِ عَشَرَ مَرَّاتٍ.
Sesungguhnya segala sesuatu pasti memiliki hati dan hati al-Qur’an adalah surah Yasin. Dan barangsiapa membaca surah Yasin nescaya Allah menulis baginya pahala seperti pahala membaca al-Qur’an sepuluh kali.
Penjelasan:
Terhadap hadis yang pertama di atas ia adalah hadis palsu (maudhu’) kerana di dalamnya terdapat perawi bernama al-Aghlab bin Tamim. Beliau ialah seorang perawi yang terkenal di dalam meriwayatkan banyak hadis-hadis mungkar(mungkarul hadith). Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah pula mengklasifikasikan hadis ini sebagai hadis yang sangat lemah (dha’if jiddan) sebagaimana yang tersebut di dalam kitabnya, Silsilah al-Ahadith adh-Dha’ifah(no. 5111).
Sebagaimana hadis pertama di atas, hadis kedua yang mengikutinya juga adalah adalah hadis palsu (maudhu’). Diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi dalam Sunan al-Tirmidzi jld. 4, ms. 337 (no. 3048). Diriwayatkan juga oleh Imam ad-Darimi, jld. 2, ms. 456 dengan sanad dari Humaid bin Abdur Rahman dari Hasan bin Soleh dari Harun Abu Muhammad dari Muqatil bin Hayyan dari Qatadah dari Anasradhiallahu’anh.
Imam al-Tirmizi berkata: Hadis ini adalah hasan yang gharib (asing). Kami tidak mengenalinya kecuali dengan sanad tunggal ini dan Harun Abu Muhammad adalahmajhul (tidak dikenali). Berdasarkan keterangan Imam al-Tirmidzi ini dapat kita simpulkan bahawa beliau sendiri telah mendha’ifkan hadis ini. Para pakar yang lain seperti al-Hafiz Ibn Katsir dalam kitab tafsirnya, Tafsir Ibn Katsir, jld. 3, ms. 563, Ibn Hajar dalam kitabnya al-Tahdzib dan al-Mundziri dalam kitab al-Tarhib, jld. 2, ms. 322 turut menyatakan riwayat tersebut adalah gharib (asing).
Sementara itu Ibn Abi Hatim dalam kitabnya al-'Ilal menjelaskan: Saya tanyakan hadis tersebut pada ayahku, maka dia menjawab: apakah dalam sanadnya terdapat Muqatil bin Sulaiman? Sungguh aku telah melihat hadis tersebut pada awal kitab yang dipalsukan oleh Muqatil bin Sulaiman dan hadis itu adalah palsu tidak bersumber. Demikian sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah di dalam kitabnya Silsilah al-Ahadith adh-Dha'ifah (no. 169). Lihat juga penjelasan beliau di dalam Dha’if Jami’ al-Shagier(no. 1935).
Jelasnya, ulamak-ulamak hadis sepakat mengatakan bahawa Harun Abu Muhammad ialah seorang yang majhul (tidak dikenali). Sedangkan bagi seorang rawi yang telah diklasifikasikan sebagai majhul akan dimasukkan oleh para ulamak hadis ke dalam darjat rawi yang dha’if yang mana riwayatnya tidak boleh diterima. Oleh kerana itu, jatuhlah hadis ini ke darjat dha’if yang tidak boleh diamalkan, lebih-lebih lagi jika ucapan itu datangnya daripada Imam Ibn Abi Hatim. Jika perkataan Imam Ibn Abi Hatim salah seorang imam ahli hadis yang telah meneliti satu persatu keadaan rajalul hadis ini benar, maka tidak syak lagi hadis ini digolongkan sebagai maudhu’ (palsu).
SYUBHAT # 2:
Mengkhususkan amalan membaca surah Yasin pada setiap malam Jumaat merupakan salah satu kaedah untuk mendekatkan umat Islam kepada al-Qur’an. Ini kerana kebanyakan umat Islam mutakhir kini amat malas membaca al-Qur’an, apatah lagi menjadikannya sebagai amalan harian.
Penjelasan:
Hujah ini dapat dijawab bahawa sekiranya masyarakat Islam di Malaysia menjauhi diri daripada amalan membaca al-Qur’an disebabkan oleh sifat malas maka yang sewajarnya diubah ialah sifat mereka itu sendiri dan bukannya syariat AllahSubhanahu wa Ta’ala. Penggubalan ke atas syariat Allah Subhanahu wa Ta’ala ini sekali-kali tidak akan membawa umat Islam untuk kembali kepada semangat mencintai dan mengamalkan bacaan al-Qur’an seandainya sikap mereka itu sendiri yang tidak diubah terlebih dahulu.
SYUBHAT # 3:
Tidak ada nas yang melarang mengkhususkan amalan membaca surah Yasin pada setiap malam Jumaat.
Penjelasan:
Apa yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam dalam mempraktikkan ajaran agama Islam ini ialah mengamalkan apa jua amalan yang jelas diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala baik menerusi al-Qur’an al-Karim mahupun al-Sunnah Rasul-Nya yang sahih, iaitu Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Bukan sebaliknya iaitu mencipta sesuatu amalan yang tiada contoh dan perintahnya daripada al-Qur’an al-Karim dan al-Sunnah yang sahih lalu dijustifikasikan di atas alasan “tiada nas yang melarangnya”.
Hendaklah kita sedari bahawa alasan atau ungkapan seumpama ini sebenarnya adalah termasuk dalam keumuman firman Allah Subahanahu wa Ta’ala yang menegah umat manusia daripada “mendahului” Allah dan Rasul-Nya sebagaimana firman-Nya dalam ayat berikut (mahfumnya):
Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mendahului Allah dan Rasulnya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. [Surah al-Hujurat: 1]
Termasuk dalam perkara “mendahului” Allah dan Rasul-Nya adalah mengkhususkan bacaan surah Yasin pada setiap malam Jumaat. Ini kerana amalan tersebut tidak pernah dicontoh atau diperintahkan oleh Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam, walhal baginda shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengingatkan bahawa:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.
Barangsiapa yang mengada-adakan (mencipta perkara baru) di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya (contoh daripada kami) maka tertolaklah ia. [8]
Juga sabdanya dalam riwayat yang lain :
مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.
Barangsiapa yang mengerjakan sesuatu amalan (dalam urusan ibadat) yang bukan mengikut (spesifikasi) cara kami, maka ia adalah tertolak (tidak diterima).[9]
Dalam pada itu juga amalan seumpama ini tidak terkenal di sisi generasi al-Salaf al-Shalih khususnya para sahabat radhiallahu‘anhum, sedangkan mereka adalah sebaik-baik umat yang sewajarnya dijadikan contoh teladan dalam mempraktikkan ajaran-ajaran Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Peringatan daripada salah seorang sahabat baginda shallallahu ‘alaihi wasallam di bawah ini adalah memadai untuk dijadikan sebagai sumber pedoman buat kita bersama. Berkata Huzaifah al-Yaman radhiallahu’anh:
كُلُّ عِبَادَةٍ لَمْ يَتَعَبَّدْ بِهَا أَصْحَابُ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى الله ُعَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلاَ يَتَعَبَّدُوْا بِهَا، فَإِنَّ الأَوَّلَ لَمْ يَدَعْ لِلآخِرِمَقَالاً، فَاتَّقُوْا الله َ يَا مَعْشَرَ الْقُرَّاءِ خُذُوْا طَرِيْقَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ.
Setiap ibadah yang tidak pernah dilakukan oleh (para) sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai ibadah (maka) janganlah kamu melakukannya. Sebab generasi pertama itu tidak memberikan kesempatan kepada generasi berikutnya untuk berpendapat (dalam masalah agama). Bertaqwalah wahai para qurra’ (Ahl al-Qur’an) dan ambillah jalan orang-orang sebelum kamu.[10]
Sebelum kita beralih ke perbincangan syubhat seterusnya, penulis ingin menarik perhatian para pembaca yang budiman sekalian kepada sikap Ahl al-Bid'ah yang suka mencipta pelbagai bid'ah dengan alasan ketiadaan nas yang melarangnya. Perlu diketahui bahawa alasan seumpama ini merupakan strategi yang paling masyhur dijadikan hujah oleh Ahl al-Bid’ah bagi menjustifikasikan pelbagai amalan bid’ah yang diwujudkan oleh mereka di dalam agama. Dengan alasan bahawa selagi tidak ada nas dari al-Qur’an dan/atau al-Sunnah yang menyatakan secara spesifik bahawa amalan-amalan yang sedang dilakukan oleh mereka sebagai termasuk dalam kategori bid’ah maka selagi itu mereka tetap jua berdegil di dalam mempertahankan bid’ah-bid’ah tersebut. Malah dengan alasan yang sama mereka dilihat menjadi semakin aktif dalam mewujudkan pelbagai amalan bid’ah lainnya sebagaimana yang dapat kita saksikan ketika ini.
Walhal jika mereka ini sudi meluangkan sedikit sahaja masa untuk mencermati dan merenungi sejenak ayat pertama dari surah al-Hujurat dan kedua-dua hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mengikutinya sebagaimana yang penulis kemukakan dalam penjelasan di atas maka sudah pasti mereka akan dapati ianya sudah cukup memadai bagi menolak apa jua amalan yang tidak pernah diperintahkan oleh kedua-dua sumber wahyu tersebut. Ini sekalipun amalan-amalan tersebut tidak pernah disebut secara spesifik sebagai bid'ah oleh al-Qur’an dan al-Sunnah sebagaimana halnya dengan amalan Yasinan pada setiap malam Jumaat.
SYUBHAT # 4:[11]
Bukankah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menganjurkan kita membaca al-Qur’an?
Penjelasan:
Memang Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menganjurkan kita membaca al-Qur’an. Seperti dalam sabda baginda:
اقْرَءُ وا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيْعًا لأَِصْحَابِهِ.
Bacalah al-Qur’an sebab di Hari Kiamat kelak ia akan memberi syafaat bagi pembacanya. [12]
Tetapi Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah menyuruh kita membaca surah Yasin secara khusus pada malam tertentu secara bersama-sama. Bahkan Nabishallallahu ‘alaihi wasallam melarang mengkhususkan hari Jumaat atau malamnya untuk diisi dengan ibadah-ibadah tertentu (yang tiada sandarannya di sisi al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih). Diriwayatkan dari Abu Hurairahradhiallahu’anh dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda bersabda:
لاَتَخْتَصُّوا لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ بِقِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِي وَلاَ تَخُصُّوا يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِصِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اْلأَيَّامِ إِلاَّ أَنْ يَكُونَ فِي صَوْمٍ يَصُومُهُ أَحَدُكُمْ.
Janganlah kamu mengkhususkan malam Jumaat dari malam-malam lainnya untuk (mengerjakan) solat malam. Jangan pula kamu mengkhususkan hari Jumaat dari hari-hari lainnya untuk berpuasa. Kecuali apabila bertepatan dengan puasa sunat yang biasa dia lakukan.[13]
Kesimpulan Perbincangan.
Kesimpulannya amalan membaca surah Yasin pada setiap kali menjelangnya malam Jumaat sebagaimana yang telah menjadi darah daging sebahagian umat Islam di Malaysia bukanlah suatu yang berasal daripada al-Sunnah Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasalam mahupun ajaran Imam al-Syafie rahimahullah.
Apa yang jelas amalan tersebut adalah bercanggah dengan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan fatwa Imam al-Syafie rahimahullah yang menganjurkan umat Islam agar menjadikan amalan membaca surah al-Kahfi sebagai amalan sunat pada setiap hari atau malam Jumaat. Berkata Imam al-Syafie rahimahullah menerusi kitabnya yang masyhur, al-Umm:[14]
Saya (Imam al-Syafie) juga menyukai agar seseorang membaca surah al-Kahfi pada siang dan malam Jumaat, berdasarkan keterangan hadis Rasul shallallahu ‘alaihi wasallam.
Apa yang difatwakan oleh Imam al-Syafie di atas ini adalah searah dengan pandangan salah seorang tokoh besar Ahl al-Sunnah semasa yang kebetulan juga antara tokoh yang turut ditohmah sebagai berfahaman Wahhabi. Beliau yang penulis maksudkan ialah Syaikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah.Berikut dinukilkan fatwa beliau yang dimaksudkan:[15]
Sesungguhnya disunatkan kepada umat Islam agar membaca surah al-Kahfi secara keseluruhannya sehingga tamat. Bacaannya ini bukan dibaca dalam solat Subuh pagi Jumaat sebagaimana yang dilakukan oleh sesetengah imam yang tidak meneliti perkara ini secara tepat. Bahkan pembacaan surah tersebut tidak dibaca di dalam solat memandangkan solat Subuh pagi Jumaat disunatkan membaca dua surah yang diketahui ramai iaitu surah al-Sajadah dan al-Insan. Manakala surah al-Kahfi dibaca di luar solat, harus dibaca selepas solat Jumaat ataupun sebelumnya kerana ia tetap mendapat ganjaran.
Penjelasan tambahan.
Penulis ingin menarik perhatian para pembaca yang budiman sekalian kepada salah satu fitnah yang sering dilontarkan oleh para pemuka dan pendukung bid’ah ke atas Ahl al-Sunnah bahawa Ahl al-Sunnah yang dimasyhurkan oleh mereka sebagai “Wahhabi” kononnya melarang keras umat Islam daripada membaca al-Qur’an lantaran menganggapnya sebagai amalan yang bid’ah di sisi agama.
Sebelum menjawab fitnah yang tidak berasas lagi bersifat kemelampauan ini, marilah kita perhatikan terlebih dahulu salah satu atsar sahabat dan komentar daripada Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah yang mengikutinya di bawah ini. [16]
عن سعيد المسيب: أنه رأى رجلا يصلى بعد طلوع الفجر أكثر من ركعتين، يكثر فيها الر كوع والسجود، فنهاه، فقال: يا ابا محمد! يعذبني اﷲ على الصاة؟ قال: لا! ولكن يعذبك غلى خلاف السنة.
Daripada Said bin al-Musayyib bahawasanya dia telah melihat seorang lelaki solat setelah terbit fajar lebih daripada dua rakaat. Lelaki itu memperbanyakkan rukuk dan sujud dalam solatnya itu. Lalu beliau pun melarang lelaki itu berbuat sedemikian. Maka lelaki itupun berkata kepadanya: Wahai Abu Muhammad! Adakah Allah mengazabku di atas solat yang aku kerjakan ini? Beliau menjawab: Tidak! akan tetapi Allah mengazabmu kerana perlakuanmu ini menyelisih sunnah (Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam).
Menerusi kitabnya yang berjudul Irwa’ al-Ghalil, jld. 2, ms. 236, Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah berkata ketika mengulas riwayat di atas: [17]
Ini adalah jawapan yang sangat baik daripada Said ibn al-Musayyib dan merupakan senjata yang paling tajam terhadap Ahl al-Bid’ahyang sering menganggap baik perbuatan bid’ah dengan label zikir dan solat, kemudian mereka mengingkari Ahl al-Sunnah yang mengingkari perbuatan mereka dan menuduh Ahl al-Sunnahmengingkari zikir dan solat. Padahal, Ahl al-Sunnah sebenarnya hanya mengingkari penyimpangan mereka dari sunnah dalam tata-cara dan perlaksanaan zikir, solat dan amalan yang seumpama.
Ringkasnya Ahl al-Sunnah tidak pernah sama sekali melarang umat Islam daripada melakukan amalan-amalan yang jelas pensyariatannya di sisi ajaran agama seperti halnya membaca al-Qur’an, berzikir dan lain-lain seumpama sebagaimana yang didakwa oleh Ahl al-Bid’ah. Hanya sahaja Ahl al-Sunnah menegaskan bahawa hendaklah amalan-amalan tersebut dilakukan sesuai dengan cara atau kaedah (kaifiyyat) sebagaimana yang didatangkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.
Membaca al-Qur’an memang diperintahkan oleh ajaran agama akan tetapi mengkhususkan bacaan sesuatu surah pada masa dan dengankaifiyyat (tatacara) tertentu tanpa adanya dalil yang mensyariatkan pengkhususan demikian adalah bid’ah di sisi agama. Ini sebagaimana yang berlaku pada amalan mengkhususkan bacaan surah Yasin pada setiap malam Jumaat yang tidak pernah ada contoh dan perintahnya dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat radhiallahu ‘anhum serta Imam Syafie rahimahullahatau para ulamak muktabar Syafi’iyyah. Hal ini berbeza dengan amalan mengkhususkan bacaan surah al-Kahfi pada hari dan malam Jumaat kerana pengkhususan tersebut sememangnya memiliki dalil yang kukuh lagi jelas di sisi al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih sebagaimana yang telah penulis jelaskan dalam beberapa perenggan yang lalu. Wallahu a’lam.
NOTA KAKI:
[1] Penulis pernah menyaksikan sebahagian umat Islam yang turut menyediakan air di dalam beberapa buah botol lalu dihidangkan di tengah-tengah halaqahupacara Yasinan malam Jumaat. Apabila ditanya mengenai hikmah di sebalik penyediaan air tersebut, mereka menjelaskan bahawa ‘keberkatan’ daripada amalan Yasinan akan menyerap masuk ke dalam air yang terhidang itu. Menurut dakwaan mereka lagi, air yang memiliki ‘keberkatan’ daripada bacaan surah Yasin tersebut menyediakan pelbagai khasiat untuk kesihatan rohani dan jasmani manusia. Umpamanya dapat melembut dan membersihkan hati daripada sifat-sifatmazmumah, mencerdaskan minda, menyembuhkan pelbagai penyakit zahir dan batin dan sebagainya.
Amat dukacita, apabila diminta dalil dan hujah di sebalik dakwaan tersebut, mereka pula gagal memberikan jawapan yang sewajarnya. Sebaliknya hanya menyandarkan dakwaan tersebut kepada tok guru atau ustaz-ustaz tertentu yang dianggap sebagai orang yang bertangunggjawab di dalam ‘menjanjikan’ keberkatan air Yasinan tersebut.
Di sini dapat kita lihat satu lagi sikap negatif yang dimiliki oleh sebahagian umat Islam khususnya di Malaysia yang begitu mudah mengatakan amalan itu dan ini sebagai baik dan memiliki ‘keberkatan’ tanpa terlebih dahulu merujuk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Apa yang lebih memilukan, sikap seumpama ini datangnya daripada sebahagian golongan yang memakai gelaran agama. Disebabkan oleh pengaruh mereka ini, amalan-amalan sebegini terus berkembang dan diterima oleh masyarakat awam tanpa pernah dipersoalkan akan dalil dan hujah di sebaliknya.
Sebenarnya sikap suka mengatakan amalan itu dan ini sebagai baik dan memiliki ‘keberkatan’ tidak hanya terhad terhadap amalan Yasinan Jumaat semata-mata, akan tetapi juga meliputi amalan lainnya. Penulis sehingga kini berasa musykil, apakah golongan ini tidak merasa takut kepada Allah Subhanahu wa Ta’alasehingga begitu berani meletakkan diri mereka sejajar dengan kedudukan AllahSubhanahu wa Ta’ala di dalam menentukan amalan itu dan ini sebagai baik dan memiliki ‘keberkataan’? Sama-samalah kita fikirkan.
[2] Selain membaca surah al-Kahfi, umat Islam juga digalakkan melakukan pelbagai ibadat sunat lainnya seperti memperbanyakkan selawat ke atas Nabi, bersedekah, memperbanyakkan doa dan sebagainya. Lebih lanjut sila lihat:
- Al-Jumu’ah Adab wa Ahkam Dirasah Fiqhiyyah Muqaranah karya Syaikh Jabir bin Abdul Qayyum As-Saidi; dalam edisi terjemahan oleh Sarwedi M. Amin Hasibuan, Lc di atas judul Jum’atan Bersama Nabi (Aqwam, Solo, Indonesia).A
- Amalan Sunat Hari Jumaat & Surah Al-Kahfi karya Mohd Fikri Che Hussain (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru).
- Meraih Rahmat dan Barakah Di Hari Jumaat karya Ahmad Hambali Al-Juz’e; terjemahan oleh Amrinurashid (Penerbitan Seribu Dinar Sdn. Bhd., Kuala Lumpur).
[3] Hadis riwayat al-Hakim jld. 2, ms. 368 dan disahihkan oleh al-Baihaqi, jld. 3, ms. 249 bersumberkan daripada Abu Sa’id al-Khudradhiallahu’anh.
[4] Walau bagaimanapun terdapat sebahagian daripada para pengamal Yasinan ini yang turut bersetuju bahawa apa yang diamalkan oleh mereka itu bukanlah suatu yang berasal daripada al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallammahupun ajaran para ulamak bermazhab Syafie. Sungguhpun demikian mereka tetap jua berdegil dalam meneruskan tradisi tersebut di atas alasan ianya adalah suatu bid’ah yang dipandang baik (bid’ah hasanah) di sisi agama.
Sebenarnya alasan seumpama ini tidak hanya terhad kepada amalan Yasinan malam Jumaat sahaja akan tetapi ia juga meliputi semua amalan bid’ah lainnya sebagaimana yang dibahaskan di dalam buku ini. Oleh sebab itulah kita melihat amalan-amalan bid’ah yang berkembang di negara ini amat rumit untuk dibendung lagi. Hal ini tidak lain adalah disebabkan oleh kegagalan sebahagian besar umat Islam di Malaysia dalam memahami konsep bid’ah menurut perspektif yang benar sebagaimana yang difahami di sisi Ahl al-Sunnah.
Terhadap persoalan bid’ah hasanah ini, ianya akan dibahaskan dalam perbincangan yang akan datang iaitu menerusi artikel berjudul Imam al-Syafie Dan Bid’ah Hasanah sebagaimana yang penulis lampirkan bersama buku ini. Sila lihat Artikel # 3.
[5] Dikeluarkan oleh al-Lalika’i dalam Syarh Ushul al-I’tqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah (no. 129). Dikeluarkan juga oleh ad-Darimi dengan sanad yang dinilai sahih oleh Syaikh Husain Salim Asad dalam semakannya ke atas Musnad ad-Darimi(no. 99).
[6] Lihat juga Bincang-Bincang Seputar Tahlilan, Yasinan & Maulidan karya Ustaz Abu Ihsan Al-Atsari (Pustaka At-Tibyan, Solo, 2007), ms. 20 dan seterusnya untuk melihat lain-lain hadis palsu dan lemah yang sering dijadikan hujah oleh Ahl al-Bid’ah bagi mensabitkan amalan Yasinan pada malam Jumaat.
[8] Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari (no. 2696).
[9] Hadis riwayat Muslim dalam Shahih Muslim (no. 1718).
[10] Dikeluarkan oleh Ibn Baththah dalam kitabnya al-Ibanah.
[11] Sebagaimana yang dikemukakan oleh Ustaz Abu Ihsan Al-Atsari di dalam buku beliau berjudul Bincang-Bincang Seputar Tahlilan, Yasinan & Maulidan, ms. 16-17.
[12] Hadis riwayat Muslim bersumberkan daripada Abu Umamah Al-Bahiliradhiallahu’anh.
[13] Hadis riwayat Muslim (no. 1144).
[14] Dinukil daripada Mukhtashar Kitab al-Umm Fil Fiqhi karya Imam al-Syafie Abu Abdullah Muhammad bin Idris; dalam edisi terjemahan oleh Mohammad Yasir Abd Mutholib di atas judul Ringkasan Kitab Al-Umm (Pustaka Azzam, Jakarta, 2004), jld. 1, ms. 292.
[15] Dinukil daripada Amalan Sunat Hari Jumaat & Surah Al-Kahfi karya Mohd Fikri Che Hussain (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2009), ms. 29.
[16] Dikeluarkan oleh al-Baihaqi jld. 2, ms. 654 (no. 4445) dengan sanad yang sahih.
[17] Dinukil daripada Membela Sunnah Nabawiyah karya Abdul Wahab Bustami (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2006), ms. 222-223.
No comments:
Post a Comment