Dalil Surah an-Nisa ayat 43 dan al-Maidah ayat 6, bahawa orang yang berhadas kecil dan besar, kalau sakit yang tidak boleh kena air boleh bertayammum, dan orang yang bermusafir (walaupun ada air) boleh bertayammum dan orang yang tidak sakit dan bukan musafir, kalau tidak ada air baru boleh bertayammum.
Cara tayammum ialah tepukkan dua tangan di bumi atau pada dinding/tembok atau pada tempat yang ada debu yang tipis. Lalu sapukan tangan itu di muka, kemudian sapu tangan kanan sampai pergelangan dengan tangan kiri dan sapu tangan kiri sampai pergelangan dengan tangan kanan. Perlu diingat bahawa tepukan ke bumi atau yang lainnya hanya sekali sahaja untuk disapu pada muka dan dua tangan. Diingatkan juga bahawa menyapu tangan itu hanya sampai pergelangan, tidak sampai siku seperti mana yang diterangkan dalam mana-mana buku fikih. Kerana menurut hadis " Dari Ammar bin Yasir. ia berkata : Nabi saw, mengirim saya untuk satu keperluan, maka saya pun berjunub, tetapi saya tidak mendapati air, lalu saya berguling di bumi sebagaimana binatang yang berguling, kemudian saya datang menemui Nabi saw., lalu saya menceritakan perbuatan saya itu, Maka sabdanya: "Hanya cukup buatmu, bahawa engkau berbuat dengan tanganmu begini": kemudian ia menepuk dua tangannya ke bumi dan meniup kedua-duanya, kemudian ia sapu (dua tangan) itu pada mukanya dan dua tangannya (sampai pergelangan). Muttafaq'alaih.
Dari Ibnu Umar. ia berkata: Telah bersabda Rasulullah saw.: "Tayammum itu dua kali tepuk, sekali tepuk untuk muka dan sekali tepuk untuk dua tangan sampai siku".
Diriwayatkan hadis ini oleh Daraquthni dan disahkan *mauqufnya oleh imam-imam.
*Fatwa sahabat atau anggapan sahabat sendiri yang diriwayatkan kepada kita, dinamakan mauquf iaitu terhenti sampai di sahabat, Tidak dari Nabi saw.
- Hadis ini mauquf iaitu dari Ibnu Umar sendiri, bukan dari Nabi saw.
- Tidak ada satu pun hadis yang sah tentang sapu tangan melebihi dari pergelangan dan tidak ada yang sah tentang tepukan tayammum dua kali.
- Hadis ini selain mauquf adalah tidak sah, kerana dalam sanadnya ada seorang rawi yang lemah, bernama 'Ali bin Zhabyan, dilemahkan oleh beberapa ulama hadis.( Kitab Nailul Autar 1:332)
Rujukan: Bulughul Maram
No comments:
Post a Comment