Thursday, November 22, 2012

Kalau tak boleh boikot semua jangan tak boikot langsung. Kita kena buat baik, walaupun tak larat buat semua kebaikan.

Boikot Produk Yang Menyokong Yahudi Zionist & Sekutunya

Last updated 4th June 2012 – http://www.inminds.com/boycott-brands.html
Last updated 4th June 2012 – http://www.inminds.com/boycott-brands.html
Semalam anak saya bertanya apa itu boikot?  Selepas menerangkannya, kami anak beranak cuba bertekad untuk mengelakkan diri kami dari terlibat memberikan ringgit kami kepada beberapa organisasi yang ada kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan yahudi zionist dan sekutunya.
Ada beberapa jenama yang saya sebut pada anak-anak yang sudah sebati dengan kehidupan kami (contohnya produk Nestle).  Walaupun susah, kami akan cuba setakat termampu menghindari jenama-jenama ini.  Jenama-jenama ini buat masa ini akan didenda oleh kami dengan tidak membelinya.
Saya katakan pada anak-anak, inilah antara tindakan kita untuk menyokong Palestin selain doa dan lebih mendekatkan diri kepada kehidupan cara Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wa sallam dan membebaskan diri dari kehidupan ala-yahudi, ala-nasrani dan ala-musyrik.
Kepedulian terhadap Palestin bukan sahaja kerana menolak kezaliman yang menimpa kepada ummat Islam, bahkan Palestin mempunyai nilai yang tinggi di sisi ummat Islam iaitu ia merupakan tanah yang penuh keberkatan dan di sana terletaknya Masjid al-Aqsa, iaitu masjid ke-3 utama selepas Masjid al-Haram di Makkah dan Masjid an-Nabawi di Madinah.  (Baca:  Kepedulian Kita Terhadap Palestin)
Nampaknya 2 orang anak-anak kami faham.  Yang 2 lagi tak faham sebab belum mumayyiz lagi.  Moga-moga kami sekeluarga mampu melakukannya, amin :)

Fatwa Boikot

Fatwa boikot produk-produk yang menyokong Yahudi Zionist, Amerika dan sekutu-sekutunya yang terlibat menceroboh tanah ummat Islam di Palestin telah dikeluarkan lama dulu oleh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi pada tahun 2002.  (Klik–>Teks Terjemahan Fatwa DYQ Mengenai Boikot)
Antara kandungan fatwa Dr Yusuf al-Qaradawi
Justeru, sewajarnyalah kita menyahut seruan ini terutama pada saat kebiadaban Yahudi Zionist sedang memuncak.  Tidak wajar kita meringan-ringankan seruan ini sedangkan ummat Islam di Palestin sana dibunuh dengan sewenang-wenangnya dan hak mereka dicerobohi.
Saya agak terkilan membaca komen-komen ummat Islam yang merendah-rendahkan seruan boikot ini sedangkan ia mempunyai kesan terhadap musuh-musuh ummat Islam. Kita memboikot apa yang mampu kita tinggalkan seperti produk-produk makanan, pakaian, kosmetik, keperluan harian, rokok dan seumpamanya kerana kita masih mempunyai alternatif yang banyak.
Mengenai produk-produk buatan mereka yang masih ummat Islam bergantung dengannya seperti produk teknologi maklumat, sains, komputer, perubatan dan persenjataan, seingat saya ada ulama telah memberikan fatwa bahawa kita boleh kita menggunakannya setakat keperluan kita.  Produk-produk dalam kategori ini kita masih belum ada alternatif atau alternatifnya sangat kurang.  Jadi dalam bab ini, kita boikot setakat termampu.  Kerana jika kita memboikotnya, banyak aspek kemajuan kehidupan kita akan terjejas.
Sungguh, usaha pemboikotan ini tidak sia-sia dan termasuk dalam amalan-amalan yang in shaa’ ALLAH ada hasanahnya di sisi ALLAH Ta`ala.  Pemboikotan termasuk dalam konsep al-bara’ iaitu meninggalkan/membenci/tidak menolong sesuatu yang tidak ada kaitan dengan Islam dan ummat Islam, apatah yang berkaitan musuh ummat Islam.
Hanya orang-orang yang mempunyai kecekalan iman, kefahaman agama dan mujahadah tinggi yang mampu melakukan pemboikotan produk-produk Zionist Israel, Amerika dan sekutu-sekutunya.  Mudah-mudahan kita semua termasuk dalam golongan ini, amin…

Berkesankah Boikot?

Usaha memboikot jika mahu ia berkesan, perlukan usahasama secara kolektif daripada semua ummat Islam.  Kita pernah melihat beberapa syarikat antarabangsa mengeluarkan beberapa kenyataan rasmi yang menidakkan penglibatan mereka dengan negara-negara tertentu atau kumpulan-kumpulan tertentu apabila pemboikotan dijalankan.  Contohnya pemboikotan produk negara Denmark yang melibatkan isu penghinaan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Kuantiti ummat Islam yang banyak di seluruh dunia bisa melumpuhkan pencapaian jualan syarikat-syarikat antarabangsa ini khususnya, dan menjatuhkan ekonomi negara tertentu amnya.  Pokoknya, ia berkesan sampai ke beberapa peringkat.
Tindakan boikot adalah tindakan berbentuk tekanan yang digunakan bagi mendesak supaya polisi-polisi syarikat tertentu atau negara tertentu diubah daripada menyokong penindasan dan kezaliman terhadap ummat Islam secara langsung atau tidak langsung kepada tidak menyokong kezaliman atau bersikap neutral.
Dan jikalah tidak berkesan memberi tekanan, ia tetap memberi kesan dalam memberi sokongan moral kepada ummat Islam di Palestin.  Bahawa ummat Islam di seluruh dunia masih bersifat prihatin dengan kesusahan ummat Islam di Palestin.  Cuba bayangkan perasaan saudara-saudara kita di Palestin apabila mereka melihat kita memakan produk makanan musuh Islam dan memakai pakaian keluaran musuh Islam.  Tentu luruh hati mereka membayangkan peluru-peluru yang ditembak kepada mereka sebahagiannya ditaja oleh ummat Islam melalui duit pembelian mereka.  Patutkah?
Paling minima pun, ia tetap berkesan buat diri kita secara individu.  Kerana apa-apa yang kita perbuat dengan niat kerana ALLAH dan caranya betul pula, maka in shaa’ ALLAH ada ganjarannya di sisiNYA untuk kita raih pada Hari Yang Tidak Berguna Lagi Wang dan Harta.  Biarlah semua orang tidak memboikot dan hanya kita sahaja yang memboikot, kesannya tetap ada dan diperlihatkan pada Hari Akhirat nanti.  ALLAH Ta`ala berfirman:
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ
“Maka sesiapa berbuat kebajikan walau seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya dan diber balasan)!”
(Surah al-Zalzalah, 99:7)

Selain Boikot

Selain boikot, ummat Islam juga sewajarnya melakukan perkara-perkara berikut, sekurang-kurangnya:
  1. Berdoa kepada ALLAH Ta`ala.
  2. Memberikan sumbangan dalam bentuk wang, tenaga atau buah fikiran.
  3. Menyebarkan maklumat-maklumat mengenai nasib ummat Islam di Palestin supaya ramai maklum mengenainya dan terbit rasa prihatin.

Tuesday, November 13, 2012

Dalam permasalahan bilangan yang wajib bagi mendirikan solat jumaat ,terlalu banyak khilaf (perbezaan) pendapat di kalangan ulama salaf termasuk imam arba’ah (imam empat mahzab). Adapun bilangan 40 orang adalah yang paling masyhur dikalangan ilmuan Islam.Pendapat ini juga merupakan pendapat imam syafi’i dan pendapat imam malik .Adapun imam abu hanifah,laits bin saad dan Muhammad bin hasan berpendapat 4 orang dan imam ahmad bin hanbal berpendapat 50 orang dan ada juga pendapat yang mengharuskan 12 orang sebagaimana di sebut dalam al-mugni iaitu pendapat rabiah dan ada yang menetapkan 30 orang dan abdullah bin baz dalam fatwanya mengharuskan 3 orang.Pendapat ibnu hazm azzohiri pula mengharuskan 2 orang sebagaimana dalam al-mohalla.


[http://sabahikhwansalafiiy.blogspot.com/2010/02/bilangan-yang-wajib-mendirikan-solat_24.html TAKHRIJ HADIS SETIAP PENDAPAT]

Dalil yang berpendapat 40

Hadis 1

مضت السنة أن في كل ثلاثة إمام و في كل أربعين فما فوق ذلك جمعه و فطر و أضحى و ذلك أنهم جماعة “Dan pada tiap-tiap tiga orang seorang imam dan pada tiap-tiap 40 orang dan lebih daripada itu harus jumaat dan aidil fitri dan adha dan bahawasanya mereka itu berjema’ah”.( dhaif )

Hadis ini dikeluarkan oleh imam baihaqi dalam sunan al-kubra (jld 3 / ms 253) hadis ini dikeluarkan melalui jalan sanad abd aziz bin abd rahman al-qurasy.Hadis ini ditolak oleh ahlul hadis kerana abd aziz bin abd rahman adalah dha’if sebagaimana di sebut dalam badrul munir (jld 4 / ms 594).Al hafiz ibnu hajar al-asqalani menukilkan dalam kitabnya talkhis habir (jld 2 / ms 114) bahawasanya telah berkata imam ahmad ditolak hadisnya kerana sesungguhnya pendusta atau palsu dan berkata an-nasai dia tidak tsiqah dan berkata daruqutni hadis munkar dan berkata ibnu hibban tidak harus berhujjah dengannya dan berkata baihaqi tidak boleh berhujjah seumpama hadis ini.


Hadis 2

عن أبي الدرداء رسول الله s.a.w قال: إذا اجتمع أربعون رجلا فعليهم الجمعة “Apabila berhimpun 40 orang lelaki diharuskan ke atas mereka solat Jumaat”.( tiada asalnya )

Hadis ini terdapat dalam kitab tatimmah tetapi hadis ini gharib sebagaimana di sebut di dalam kitab badrul munir (jld 4 / ms 596) dan riwayat ini tiada asalnya.

Hadis 3

حديث ابي أمامه: لا جمعة إلا بـأربعين ”Tidak ada solat jumaat melainkan dengan 40 orang”( tidak ada asalnya ) Berkata ibnu mulqan ( pengarang kitab badrul munir ) hadis ini tidak sampai kepadaku ( tidak diketahui ) siapakah yang mengeluarkannya dalam bentuk ( lafaz ) yang begini. Hadis ini di keluarkan dalam syarhul kabir (jld 2 / ms 256).Adapun mengenai hadis ini disentuh dalam badrul munir (jld 4 / ms 596) bahawa hadis ini digharibkan oleh imam ar-rafi’i.

Hadis 4

أنه s.a.w جمع المدينة و لم يجمع بـأقل من أربعين “Bahawasanya nabi s.a.w berhimpun di madinah dan tidaklah mereka berhimpun kurang daripada 40” ( tiada asalnya )

Berkata ibnu Hajar al-asqalani dalam talkhis habir ( jld 2 / ms 114 ) tidaklah aku melihatnya (hadis di atas) seperti ini, dan dari al-baihaqi melalui riwayat ibnu mas’ud telah berkata:

جمعنا رسول الله صلى الله عليه و سلم و نحن أربـعون رجلا “ Kami telah berhimpun bersama rasulullah s.a.w dan kami ( pada ketika itu ) 40 orang lelaki “

Dan tidaklah hadis ini berkaitan dengan solat jumaat dan adapun apa yang diriwayatkan oleh abu daud dan ibnu hibban dan selain dari keduanya iaitu hadis abdul rahman bin ka’ab bin malik:

كم كنتم يومإذ : أربـعون رجلا “ Berapa ( orang ) kamu pada ketika itu? Berkata : 40 orang lelaki “

Sanad hadis ini hasan tetapi hadis ini tidaklah menunjukkan ( merujuk ) kepada bab ini seperti mana yang dikatakan oleh ibnu hajar dalam talkhis habir ( jld 2 / ms 115 )

Hadis 5

عن جابر بن عبد الله قال: بينما رسول الله s.a.w يخطبنا يوم الجمعه إذا أقبلت عير تحمل الطعام, حتى نزلوا بالباقع, فالتفتوا إليها و انفضوا إليها, و تركوا رسول الله s.a.w ليس معه إلا أربـعين رجلا أنا فيهم “ Dari jabir bin Abdullah berkata: di tengah rasulullah s.a.w berkhubah pada hari jumaat ketika sampai satu kafilah yang membawa barang makanan ( untuk dijual ) sehingga mereka berhenti di baqi’ maka mereka berpaling dan pergi kepadanya (kafilah) dan meninggalkan rasulullah, tiada bersamanya selain 40 orang lelaki,aku bersama (termasuk) mereka”

Hadis ini lemah sebagaimana disentuh dalam sunan daruqutni ( jld 2 / ms 308 ) kerana bersendirian ali bin a’sim dalam meriwayatkan hadis ini.hadis ini juga di tolak oleh ahlul hadis kerana hadis ini bercanggahan dengan hadis yang lebih shahih iaitu hadis yang dikeluarkan oleh bukhari dan muslim ( lihat hadis di bawah )


Dalil yang berpendapat 12

Hadis 1

أن الصحابة انفضو عن النبي فلم يبق منهم إلا إثنى عشر رجلا “ Bahawasanya sahabat berpaling (meningalkan) daripada nabi dan tidaklah terbaki daripada mereka selain 12 orang lelaki “ Hadis ini dikeluarkan oleh bukhari dan muslim dan darjat hadis ini shahih menurut syarat keduanya.Hadis ini telah jelas menunjukkan bahawa pensyaratan 40 orang adalah tidak benar tetapi yang benar adalah kurang dari 40 lelaki,dan inilah pendapat yang terpilih (صحيح المختار ) berkata ibnu hajar asqalani sesungguhnya telah warid bilangan hadis hadis yang menunjukkan sempurna (solat jumaat) kurang daripada 40, dan begitu juga berkata imam suyuti : tidaklah tsabit satu pun daripada hadis-hadis yang menentukan ( menetapkan ) bilangan yang khusus ( bagi mendirikan solat jumaat )

Dalil yang berpendapat 50

Hadis 1

الجمعه واجبة على خمسين رجلا و ليست على من دون الخمسين جمعة “Jumaat itu wajib diatas 50 orang lelaki dan tidaklah ada solat jumaat selain daripada 50 orang “

Dan lafaz yang lain

على الخمسين جمعه و ليس فيما دون ذلك “ Jumaat didirikan di atas 50 (orang) dan tidaklah selain daripada itu “

Hadis ini dikeluarkan oleh imam thabrani dalam mu’jam kabir ( jld 8 / ms 291 ) melalui sanad ja’far bin zubair yang mana ja’far bin zubair ditolak hadisnya oleh ahlul hadis sepertimana disebut dalam sunan daruqutni ( jld 2 / ms 307 ).Dinukilkan kata kata imam baihaqi dalam badrul munir ( jld 4 / ms 596 ) bahawa hadis ini tidak sah sanadnya dan di dalam khilafiyyatnya imam baihaqi menyebutkan bahawa bersendirian ja’far bin zubair dalam meriwayatkan hadis ini dan di ma’lulkan hadis ini oleh abdul haq di dalam al ahkam al wusto ( juz 2 / ms 104 ) kerana ja’far bin zubair yang disebutnya sebagai matruk.

Dalil yang berpendapat 4 Hadis 1

حديث أم عبد الله الدوسية : الجمعة واجبة على كل قرية فيها إمام, و إن لم يكونوا إلا أربـعة “ Hadis ummu Abdullah ad-dausiyyah: Jumaat itu wajib ke atas setiap kampung yang terdapat padanya( solat jumaat ) imam dan tidak ada ( solat jumaat ) melainkan 4 “ ( dhaif ) Dan riwayat yang lain و إن لم يكونوا إلا ثلاثة و رابـعهم إمامهم “ Dan tidaklah ada ( solat jumaat ) melainkan tiga dan yang keempat imam mereka ” Hadis ini dikeluarkan oleh daruqutni di dalam sunannya ( jld 2 / ms 312 ).Disebut hadis ini di dalam nasbur rayah ( jld 2 / ms 197 ) bahawasanya kedua riwayat ini matruk dan setiap orang yang meriwayatkan hadis ini dari az-zuhri adalah matruk dan tidaklah sahih hadis ini dari az-zuhri dan tidaklah az-zuhri mendengar hadis ini dari dausiyyah.Hadis ini juga di dhaifkan oleh thabroni dan ibnu adi kerana pada hadis ini terdapat orang yang ditolak hadisnya ( matruk ) sebagaimana disebut dalam nailul awthor ( ms 612 ) dan disebut hadis ini oleh ibnu hajar asqalani dalam talkhis habir ( juz 2 / ms 116 ) sebagai munqati’. Tidak harus berhujjah dengan hadis ini kerana sanad kepada hadis ini iaitu muawiyah bin yahya dan muawiyah bin said adalah majhul sepertimana di sebut dalam al-mohalla ( juz 5 / ms 47 )

Dalil yang berpendapat 30 Hadis 1

إذا اجتمع ثلاثون رجلا فليؤمروا يصلي بهم الجمعة “ Jika berhimpun 30 orang lelaki maka perintahkanlah solat bersembahyang jumaat bersama mereka “(dhaif)

Khabar ini terdapat di dalam kitab al-mohalla dan dikeluarkan melalui jalan sanad abu Muhammad al-azdi yang disebut majhul sebagaimana dalam al-mohalla ( jld 5 / ms 47 )

KESIMPULAN

Kesimpulan daripada takhrij dan tashih hadis diatas menunjukkan tiada penetapan yang tsabit daripada rasulullah yang dapat dibuat, adapun pendapat yang mendekati petunjuk adalah pendapat yang menyebut 2 berdasarkan lafaz jumaat yang berasal dari perkataan jama’a yang bermaksud himpun dan kaedah asal bagi mendirikan solat berjemaah adalah cukup dengan 2 orang ( ini yang disepakati ).

RUJUKAN

fathul bari syarah sohih bukhari-ibnu hajar al-asqalani al-aziz-ar-rafi’i ahkam al-wustha-ibn abdul haq sunan daruqutni-daruquni sunan al-kubra-baihaqi sunan wustho-baihaqi al-mohalla-ibnu hazm azzohiri talkhis habir-ibnu hajar al asqalani al mugni-ibnu qudamah al kafi-ibnu qudamah nasbur rayah-yusuf az-zaila’i badrul munir-ibnu mulqan mu’jam kabir-thobrani nailul awthor-asy-syaukani
by jamaluddin bahar
untuk lebih lanjut sila layari http://sabahikhwansalafiiy.blogspot.com/2010/02/bilangan-yang-wajib-mendirikan-solat_24.html